Di dalam cabang pengajian Fiqh Ibadah, kita akan bertemu dengan satu tajuk khas yang dinamakan dengan hukum sapuan khuf. Hukum ini adalah untuk menggantikan keringanan bagi kita semua dalam membasuh kaki ketika mengambil wuduk, juga bertujuan untuk memudahkan pekerjaan kita dalam melakukan urusan seharian.
Allah swt telah berfirman yang bermaksud: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran”. (Al-baqaroh:185). Tetapi dalam kita hendak mencari keringanan itu mestilah bersyarat iaitu dengan melalui sumber yang telah diajar oleh Rasulullah saw.
Pada kali ini kita akan membincangkan satu tajuk yang amat penting dalam kehidupan seharian kita iaitu urusan yang melibatkan soal ibadah dan kaitannya dengan urusan seharian kita baik lelaki mahupun perempuan seperti bekerja, berlajar, bermusafir, menghadapi musim yang terlalu sejuk, sukar untuk membuka kasut/stokin di satu-satu tempat, dan pelbagai keadaan lagi. Insyaalalh, kita akan merungkaikan soalan adakah hukum sapuan ini hanya disyaratkan pada stokin atau kasut yang diperbuat daripada kulit sahaja, adakah dibenarkan juga kain lain seperti stokin yang kita pakai pada zaman sekarang, adakah ia boleh dimasukkan sekali dalam kategori hukum sapuan serta masalah-masalah sekitar dengannya? Jom kita ambil tahu untuk memudahkan urusan kita semua.
Pensyariatan Sapuan khuf/Stokin Atau Seumpama Dengannya
Hukum menyapu adalah thabit dalam sunah secara jalan Mutawatir, dan nabi saw telah melakukannya berulang kali, sehingga Ibnu Al-Munzir meriwayatkan daripada Hasan Al-Basri katanya: “Aku diberitahu oleh tujuh puluh orang daripada sahabat, bahawa nabi saw menyapu atas dua belah kasutnya” (Boleh lihat di dalam kitab Mughni Al-Muhtaj dan juga Al-Majmu’)
Di antaranya juga hadis daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. katanya: “Bahawa nabi saw menyapu atas dua belah kasutnya” (Riwayat Bukhari dan Muslim), dari Jabir bin Abdullah Al-Bajali r.a. telah berkata: “Aku telah melihat nabi saw membuang air kecil, kemudian berwuduk dan menyapu atas dua belah kasutnya”. (Riwayat Muslim dan Tirmizi).
Syarat-syarat Menyapu Khuf/Stokin
1. Mesti memakainya dalam keadaan kita bersih dari dua hadas kecil dan besar, iaitu dalam keadaan sudah sempurna wuduk. Ini berdasarkan hadis daripada Mughiroh bin Syu’bah r.a. katanya: “Aku bersama nabi saw dalam satu perjalanan, lalu aku membongkok untuk membuka kasutnya, lalu baginda bersabda: “Biarkan ia, sesungguhnya aku memakainya dalam keadaan suci” lalu baginda menyapu atas kedua-duanya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
2. Mestilah memastikan bahawa khuf/stokin itu bersih daripada najis.
3. Hukum menyapu khuf/stokin sah selagi mana tidak berhadas besar seperti Junub ataupun keluar haid. Jika berhadas kecil, cukup hanya ambil wuduk seperti biasa dan sapu ke atas stokin/khuf selagi mana tidak tamat tempoh. Hal ini berdasarkan hadis nabi saw daripada Safwan bin Assal Al-Murodi r.a. katanya: “Rasulullah saw memerintahkan apabila musafir, tidak dibenarkan membuka khuf selama tiga hari tiga malam kecuali jika junub. Jika hanya berhadas kecil, maka tidak mengapa berwuduk seperti biasa. (Diriwayatkan oleh Imam Syafie dalam musnadnya dan dalam al-umm, serta Abu Daud, Al-Baihaqi, Tirmizi, dan Ibnu Majah.
4. Mestilah tempoh sapuan hanya mengikut waktu yang telah ditetapkan oleh syara’ iaitu sehari semalam (24 jam) bagi yang bermukim, dan 3 hari 3 malam bagi yang bermusafir. Jika lebih, maka batal hukum sapuan. Ini berdasarkan hadis Ali bin Abi Talib r.a. katanya: “Telah ditetapkan oleh nabi saw bagi sapuan khuf adalah sehari semalam bagi yang bermukim dan 3 hari 3 malam bagi yang bermusafir”. (Riwayat Muslim).
Dengan kata lain bahawa selepas sahaja pakai khuf/stokin buat kali pertama dalam keadaan suci daripada hadas kecil, apabila dia berhadas selepas memakainya, dan mengambil wuduk untuk membuat sapuan kali pertama, maka pada waktu itu bermulanya tempoh sapuan khuf/stokin bagi yang bermukim selama 24 jam, manakala yang bermusafir tempohnya 72 jam selepas daripada sapuan yang pertama. Contohnya, Ali memakai khuf/stokin pada hari isnin dalam keadaan berwudhu’ pada pukul 5 pagi, tiba-tiba dalam pukul 10 pagi pada hari yang sama, beliau telah berhadas kecil, maka pada saat itu barulah tempoh sapuannya bermula iaitu sehingga 24 jam kemudian jika Ali bermukim, tetapi jika beliau bermusafir, maka tempohnya adalah selepas 72 jam daripada hadas kecil yang pertama selepas memakai khuf/stokin. Jika andai kata selepas 24 jam beliau sudah habis tempoh sapuan tanpa berhadas kecil, maka wuduknya dikira masih sah untuk tunaikan ibadat, kerana apabila tamat tempoh sapuan, ia hanya membatalkan tempoh sapuan dan bukannya membatalkan wuduk.
Cara Untuk Membuat Sapuan Khuf/Stokin
Wajib menyapu sedikit pada bahagian atas khuf/stokin dari zahirnya, kerana hadis datang dengan Masah iaitu menyapu sahaja seperti sabda nabi saw daripada Mughirah r.a. katanya: “Aku melihat Rasulullah saw menyapu atas dua khuf/stokin, atas zahir kedua-duanya”. (Diriwayatkan Oleh Tirmizi dan katanya Hadis Hasan Sahih).
Contohnya ketika ambil wudhu’, apabila kita sudah selesai menyapu sebahagian kepala, maka kita terus mengambil air iaitu memadai semua jari sudah terkena air dan menyapu terus ke atas khuf/stokin yang dipakai di kaki. Manakala tidak sah jika kita menyapu pada bahagian bawah khuf/stokin, kerana tidak ada dalil yang menyebutkannya, dan rukhsah (kelonggaran) padanya wajib diikuti seperti nabi saw tunjukkan. Dari Ali r.a. katanya: “Sekiranya agama itu dinilai dengan ra’yi (pandangan akal) nescaya ada manusia menyangka bahawa menyapu bawah khuf lebih patut disapu daripada bahagian atasnya, dan aku telah melihat Rasulullah saw menyapu atas zahir khufnya”. (Mughni Muhtaj, Al-Muhazzab, Al-Majmu’, dan katanya telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Baihaqi).
Tidak Disyaratkan Bahawa Stokin Tersebut Mestilah Daripada Kulit
Hal ini telah dibuktikan sendiri berdasarkan hadis nabi saw daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. katanya: “Telah berwudhu’ nabi saw dan menyapu ke atas stokin dan kasut yakni (capal yang membalut kaki nabi)”. (Riwayat Tirmizi dan disahihkan Oleh Al-Bani rahimahullah)
Telah berkata Azraq bin Qais Rahimahullah: “Aku melihat Anas bin Malik telah berhadas (batal whuduk) maka dia telah membasuh muka dan tangannya, dan telah menyapu keatas kedua stokinnya-diperbuat- daripada benang bulu biri-biri, lantas aku berkata : adakah kamu menyapu keatas keduanya ? dia pun berkata, sesunguhnya keduanya adalah khuf, tetapi keduanya daripada benang bulu biri-biri. (Riwayat Ad-Dulabi, Berkata : Sheikh Ahmad Syakir : Sanadnya Sahih)
Telah berkata Sohib kamus bahawa yang dimaksudkan dengan stokin itu ialah balutan kain yang ada pada kaki.
Telah berkata Abu Bakar bin Al-A’robi: “Stokin adalah balutan yang ada pada kaki yang diperbuat daripada benang bulu kambing. (Membawa maksud bahawa stokin yang bukan daripada kulit juga dibenarkan).
Daripada Yahya Al-Bakka’ bahawa beliau telah mendengar daripada Ibnu Umar: “Menyapu ke atas stokin sama seperti sapu ke atas khuf”. (Al-Musannif Ibnu Abi Syaibah).
Telah berkata Ibnu Hazam Az-zohiri: “ Boleh menyapu ke atas setiap yang boleh dipakai oleh kaki, daripada apa yang dihalalkan untuk memakainya iaitu memadai lebih sedikit daripada buku lali sama ada daripada kulit, atau kain, atau dari tumbuhan, atau stokin daripada kattan, atau benang bulu kambing atau kapas, atau seumpama dengannya. Iaitu sama ada daripada kulit ataupun bukan daripada kulit” (Petikan daripada kitab Al-Muhalla)
Hukum Menyapu Ke Atas Stokin Yang Berlubang Atau Seumpama Dengannya
Dibuktikan oleh beberapa ulama’ bahawa boleh menyapu ke atas khuf/stokin koyak atau berlubang, kerana keringanan yang dibenarkan oleh Rasulullah saw sapu atas khuf/stokin tetapi tidak disyaratkan mestilah elok daripada apa-apa kerosakan.
Telah berkata Imam Sofiyan As-sauri Rahimahullah: “Sapulah ke atas apa yang ada pada kaki kamu, adalah khuf yang dipakai oleh kaum Muhajirin dan Ansor juga berlubang, koyak, dan ditampal”. (Diriwayatkan oleh Abdul Razak dalam Musonnif)
Pendapat ini juga adalah daripada mazhab Imam Ishaq, Ibnu Mubarok, Ibnu U’yainah, Abi sauri, dan juga fatwa Ibnu Taimiyah Rahimahullah.
Adakah Batal Wuduk Sekiranya Menanggalkan/Tertanggal Stokin Atau Pun Selepas Sapu Ke Atas Stokin, Kita Terus Mencabutnya
Tidak membatalkan wuduk jika berlaku mana-mana keadaan di atas, ini adalah pendapat jemaah daripada ulama’ salaf iaitu Qotadah, Hasan Al-Basri, dan Ibnu Abi Laila, pendapat ini juga dipilih oleh Ibnu Taimiyah dan Ibnu Munzir. Telah berkata Imam Nawawi di dalam Majmu’nya bahawa ini adalah pendapat yang kuat. Boleh juga lihat di dalam kitab Al-Mughni, Al-Muhalla, dan Al-ikhtiyarat.
Adakah boleh menyapu ke atas khuf/stokin yang belum sempurna hadasnya. Contohnya, Ali sedang membasuh kaki kanannya dan terus memakai khuf/stokin sebelum menyempurnakan basuhan kaki kirinya
Tidak sempurna hukum memakai khuf/stokin kecuali sudah suci daripada hadas kecil atau besar iaitu memakainya sesudah sempurna wuduk. Ini berdasarkan hadis nabi saw yang bermaksud: “ Bahawa nabi saw telah meringankan bagi yang musafir hanya 3 hari 3 malam, dan bagi bermukim hanya sehari semalam, apabila sudah berada dalam keadaan suci, maka pakailah khuf”. (Disahihkan oleh Imam Syafei dan dihasankan oleh Imam nawawi, boleh lihat di dalam kitab Majmu’), ini juga adalah pendapat Syekh bin Baz Rahimahullah di dalam Majmu’ Fatawa Bin Baz.
Kesimpulan
Pada pendapat saya yang dhaif ini serta berdasarkan dalil-dalil yang telah diberikan menunjukkan bahawa kita boleh menggunakan apa-apa sahaja jenis stokin atau pembalut kaki yang diperbuat daripada kain, kulit, atau sebagainya, tetapi hendaklah mengikut syarat-syaratnya iaitu bersih daripada najis, lebih daripada buku lali iaitu memadai menutup kawasan basuhan kaki, dan halal digunakan.
Sesiapa yang masih keliru atau tidak faham, boleh terus bertanya kepada saya sama ada terus komen di bawah atau pun di bahagian Hubungi Penulis yang telah saya sediakan di tag di atas. Semoga dengan penyampaian ilmiyah ini dapat membantu kita semua dalam melaksanakan ibadah berdasarkan konsepnya yang betul serta mudah dalam pelaksanaannya.
Sekian
Muhammad Fathullah Al-Haq
19/11/2011
Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.


Salam ustaz. Saya ada sebuah kemusykilan dal hal memakai khuf.
Bilamana seseorang telah menyempurnakan wudhunya lalu memakai sepasang setokin dan kemudian mengenakan sepasang kasut diatasnya. Apabila dia berhadats bagaimana baginya untuk menyapu khufnya? pada setokin atau sepatu?
Harap dapat ustaz huraikan.
Jazakullah….
Asalamualaikum wbt,
Saya ingin tahu, adakah sah solat seseorang itu jika pada waktu solat lelaki itu memakai stokin, walhal pada waktu itu dia tidak sakit dan tidak berada dalam keadaan darurat? Jika boleh atau tidak, ada tak dalil @ hadis yang menyokong perihal memakai stokin ketika dalam solat ini.
terima kasih. Wasalam.