Soalan :
Apakah hukum mengambil upah dengan
membaca al Quran ? Begitu juga dengan sesetengah tempat selepas kematian tuan
rumah akan memanggil sekumpulan Huffaz al Quran untuk membaca al Quran. Setelah
itu mereka akan dihidangkan makanan dan diberi sagu hati berupa wang.
Tujuannya ialah untuk bersedekah bagi pihak roh simati dengan harapan agar
Allah memb
kepadanya. Apakah hukum perkara tersebut ?
Jawapan 1 :
Jawapan diberikan oleh Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi (bekas Mufti Iraq)
dalam bukunya : Al Bid’ah fi al Mafhum al Islamy ad Daqiq – Salah faham
terhadap Bid’ah menyebutkan :
Membaca al Quran adalah ibadah. Para
ulama berselisih pendapat, adakah dibolehkan mengambil upah atau imbalan ke atas
ibadah yang dilakukan termasuk di antaranya ialah membaca al quran dan
mengajarnya.
Sebahagian fuqaha’ berpendapat mengambil upah hasil
pembacaan al Quran adalah tidak harus. Ini adalah salah satu pendapat yang
dikemukakan oleh Imam Ahmad, para ulama bermazhab Hanafi yang terawal dan Ishaq
bin Rahawaih.
Manakala para ulama Hanafiyyah yang terkemudian
mengharuskan pengambilan upah hasil menjadi imam, mengajar dan muazzin. Alasan
mereka ialah sekiranya dipegang pendapat yang melarang pengambilan upah maka ia
akan menyebabkan tugas-tugas tersebut terabai kerana mereka yang layak untuk
melaksanakan tugas tersebut terpaksa meninggalkannya untuk mencari sara hidup,
seterusnya menyebabkan tugas tersebut terabai atau berlaku kepincangan.
Manakala sebahagian ulama yang lain seperti Imam Malik, Asy Syafie, Ibnu Al
Munzir dan Ahmad pada satu riwayat yang lain mengharuskan pengambilan upah
hasil membaca al Quran. Mereka berdalilkan dengan sebuah hadith yang
diriwayatkan oleh AlBukhari bahawa Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wasallam
bersabda (yang bererti) :
Yang paling berhak kamu mengambil upah ke
atasnya adalah Kitab Allah (Al Quran)
kerana Nabi sallaLlahu ‘alaihi
wasallam tidak membantah ke atas para sahabat yang mengambil upah hasil jampian
dengan al Quran.
Namun bagi para ulama yang mengharuskannya kesemua
mereka bersepakat bahawa sekiranya seorang qari (yang membaca al Quran) membaca
dengan niat untuk mendapat upah dan mengaut harta, maka dia tidak akan mendapat
pahala dan berkemungkinan dia berdosa kerana dia membaca Al Quran bukan kerana
Allah subahanahu wa ta’ala (ikhlas kerana Allah). Mereka juga berpendapat
sekiranya pembacaan Al Quran dijadikan sebagai kerja untuk mengaut keuntungan
dan harta yang banyak maka hukumnya adalah haram yang tidak diakui oleh
syarak.
Jawapan 2 :
Membaca al Quran adalah sangat dianjurkan.
Begitu juga bersedekah. Mengambil upah untuk tugas-tugas keagamaan seperti
membaca al Quran , menjadi imam, membaca khutbah jumaat, azan, mengajar
ilmu-ilmu syariah, telah menjadi kebiasaan diamalkan umat Islam di
negara-negara Islam sejak zaman berzaman. Adapun mengambil upah membaca alQuran
ia termasuk dalam keumuman hadith RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallan (yang
bererti) :
Yang paling berhak kamu mengambil upah ke atasnya adalah
Kitab Allah (Al Quran) (Riwayat Bukhari)
Hadith ini adalah bahagian
akhir hadith yang panjang riwayat Al Bukhari dari Ibn Abbas iaitu :
Bahawasanya satu jama’ah para sahabat Nabi melalui di tempat yang ada air yang
ada di sana seseorang bernama Ladigh atau Salim (perawi tidak pasti antara
keduanya yang kena sengat binatang ), Datanglah seorang lelaki dari tempat air
itu lalu berkata : Adakah di antara kamu yang pandai menjampi kerana
sesungguhnya di tempat air itu ada seorang lelaki yang disengat binatang bisa.
Lalu ada seorang dari mereka lalu membaca Surah al fatihah dengan pembayaran
beberapa ekor kambing. Lalu (selepas menjampi) dia membawa kambing tersebut
kepada kawan-kawannya. Kawan-kawannya tidak suka dengan perkara tersebut.
Mereka berkata : Apakah kamu mengambil upah dengan membaca kitab Allah?
(perkara ini berlarutan) sehinggalah mereka sampai di Madinah, lalu mereka
berkata : Ya Rasulullah, dia telah mengambil upah melaluk kitab Allah.
Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wasallam lalu mengatakan :
Sesungguhnya
yang paling berhak kamu mengambil upah ke atasnya ialah kitab Allah (Al
Quran)
Imam Nawawi berkata dalam Raudhah ath Tholibin :
Dari
al Qadhi Husain di dalam Al Fatawa, menyebutkan : Sesungguhnya mengupah membaca
al Quran di atas kubur pada tempoh tertentu adalah dibolehkan sebagaimana
(dibolehkan) mengupah orang untuk azan dan mengajar al Quran
(lihat
Fath al Mu’in m/s 84, Lihat Minhaj al Wadhih (Soal Jawab Agama membahaskan
Masalah Terkini dalam Feqah)
Mengikut Bughyah al Mustarsyidin, sah
(boleh) upah membaca al Quran di atas kubur dan mendoakannya kerana bacaan itu
boleh memberi manfaat dan dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Dalil dari
hadith dan pendapat-pendapat para ulama’ mu’tabar di atas memberi penjelasan
bahawa tidak mengapa mengambil upah membaca al Quran kepada si mati.
Rujukan :
1. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi, Al Bid’ah fi al Mafhum
al Islamy ad Daqiq – Salah faham terhadap Bid’ah
2. Muhadir bin Hj Joll,
Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama, Inilah Jawapannya, m/s 660-661, Cet
Pertama 2011, Mawleed Publishing, Selangor

No comments yet.