Berpada-pada Apabila Makan

berpada bila makan

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam
bersabda:

مَا مَلأَ ابْنُ آدَمَ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ

“Tidak ada tempat yang diisi oleh anak keturunan Adam yang lebih buruk dari perutnya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 17186. at-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Sambungan hadis dalam riwayat at-Tirmidzi:

بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أُكُلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung). Melainkan jika ia tidak dapat mengelak, maka isilah 1/3 untuk makanannya, 1/3 untuk minumannya, dan 1/3
untuk nafasnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Syarah dan Huraian Hadis:

Hadis ini menunjukkan celaan terhadap orang yang gemar berlebih-lebihan dalam soal makan, atau celaan terhadap orang yang kekenyangan dan suka memenuhkan perutnya dengan makanan.

Hadis ini juga turut mengkhabarkan kesan buruk terhadap agama dan tubuh. Kerana makan yang berlebihan mampu menimbulkan pelbagai penyakit dan akan menghalang seseorang dalam menegakkan hukum-hukum Allah.

Ini adalah petunjuk terbaik bagi seorang manusia dari sebaik-baik manusia bahawa ukuran makanan terbaik untuk diisi ke dalam perut adalah 1/3 penuh. Kapasiti ini mampu meringankan kerja-kerja tapak penghadaman, bermanfaat bagi tubuh, dan mampu menguatkan tubuh serta menjauhkannya dari pelbagai jenis penyakit.

Terdapat banyak hadis yang mencela seseorang yang makan hingga kekenyangan. Di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan dua sanad. Salah satunya diriwayatkan dengan sanad marfu’ dan para perawi yang tsiqah, iaitu:

أكثر الناس شبعا في الدنيا أطولهم جوعا في الآخرة

“Orang yang paling banyak kenyang semasa di dunia adalah orang yang paling banyak mengalami kelaparan pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 2478. At-Tirmidzi menghasankannya, demikian juga al-Albani dalam Shahih al-Jami’ ash-Shaghir, no. 1199. Ash-Shahihah, no. 343)

Hadis tersebut diucapkan kepada Abu Juhaifah yang pada ketika itu mengeluarkan bunyi sendawa. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

ما ملأت بطني منذ ثلاثين سنة

“Perutku belum pernah penuh semenjak 30 tahun lalu.”

Dan ath-Thabrani meriwayatkan sebuah hadis dengan sanad yang hasan:

أَهْلَ الشَّبَعِ فِي الدُّنْيَا هُمْ أَهْلُ الْجُوعِ فِي الآخِرَةِ

“Orang-orang yang biasa kekenyangan semasa di dunia, mereka adalah orang-orang yang kelaparan di akhirat.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir, no. 11693. Al-Mundziri, al-Bushairi, dan al-Albani juga menghasankannya)

Ath-Thabrani meriwayatkan dengan sanad yang jayyid bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah melihat seorang lelaki yang memiliki perut yang sangat gemuk (boroi), kemudian beliau pun berkata sambil memberikan isyarat dengan jari-jarinya:

لو كان هذا في غير هذا لكان خيرا لك

“Sekiranya perutmu tidak seboroi ini, tentulah lebih
baik bagimu.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Kabir, no. 2184.
Dinilai dhaif oleh al-Albani)

Syaikhaan (Imam al-Bukhari dan Muslim) meriwayatkan
dengan lafaz yang ringkas sebagaimana berikut:

إِنَّهُ لَيَأْتِي الرَّجُلُ
الْعَظِيمُ السَّمِينُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَزِنُ عِنْدَ اللَّهِ جَنَاحَ
بَعُوضَةٍ وَقَالَ اقْرَءُوا { فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا
}

“Sesungguhnya pada hari kiamat akan datang seorang yang
bertubuh amat gemuk, tetai di sisi Allah timbangannya tidaklah lebih berat dari
sayap seekor nyamuk. Dan beliau berkata, bacalah: “Kami tidak mengadakan
sebarang penilaian bagi (amalan) mereka pada hari kiamat.” (Surah al-Kahfi, 18:
105).” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 4360. Muslim, 4991)

Dalam sebuah hadis sahih disebutkan:

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالبَسُوا
وَتَصَدَّقُوا، فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ

“Makan, minum, berpakaian, dan bersedekahlah. Tetapi
jangan boros dan jangan bersikap sombong.” (Ahmad, no. 6695. Hadis Riwayat
al-Bukhari, 7/140. An-Nasaa’i, no. 2559)

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dan ath-Thabrani
dalam al-Ausath:

سيكون رجال من أمتي يأكلون ألوان
الطعام ويشربون ألوان الشراب ويلبسون ألوان الثياب ويتشدقون في الكلام فأولئك شرار
أمتي

“Kelak akan muncul para lelaki dari kalangan umatku
makan dengan pelbagai jenis makanan, minum dengan pelbagai jenis minuman,
berpakaian dengan pelbagai jenis pakaian, dan gemar cakap besar. Mereka adalah
seburuk-buruk umatku.” (Hadis Riwayat ath-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, no.
2351. Dinilai hasan oleh al-Albani)

Luqman pernah berkata kepada anaknya, “Wahai anakku,
apabila perut telah penuh maka fikiran pun akan tertidur, tidak dapat mendengar
hikmah (pelajaran), dan anggota badan pun terasa berat dari
ibadah.”

Perut yang kosong dari makanan memiliki faedah-faedah
dan perut yang penuh memiliki kesan buruk. Perut yang lapar dapat membersihkan
hati, menghilangkan sifat buruk, dan meningkatkan kecerdasan serta
wawasan.

Manakala perut yang sentiasa kekenyangan akan
menjadikan otak menjadi lembab, menggelapkan hati, banyak menguap, dan otak
sering berkhayal. Dan ini boleh menyebabkan tertutupnya fikiran sehingga hati
menjadi berat ketika dibawa untuk berfikir.

Di antara faedah diperolehi hasil perut yang lapar
adalah seperti melemahnya dorongan hawa nafsu untuk bermaksiat dan mengurangkan
dorongan melakukan kerja-kerja yang buruk. Kerana di antara faktor yang
memperkuatkan dorongan hawa nafsu dan syahwat itu adalah
makanan.

Dengan meminimakan makan bererti dapat melemahkan
dorongan hawa nafsu. Kehidupan yang sejahtera mampu dikecapi oleh seseorang
apabila ia mampu mengawal nafsunya. Adapun hasil kehidupan yang buruk akan
diperolehi oleh seseorang yang tidak mampu mengawal hawa nafsunya dengan
betul.

Ketika perut lapar maka yang pertama sekali melemah
adalah nafsu seks dan keinginan berbicara. Jika perut seseorang sedang lapar
maka tidak ada dorongan nafsu dan keinginan untuk berbicara sehingga orang
tersebut terhindar dari kesalahan lisan. Dalam keadaan seperti ini, nafsu seks
juga akan melemah sehingga orang tersebut terhindar dari perbuatan-perbuatan
yang terlarang.

Di antara faedah yang lain adalah berkurangnya
keinginan untuk tidur. Kerana seseorang yang makan dan minum dalam jumlah yang
banyak maka tidurnya juga akan semakin lama dan sudah tentu tidur yang banyak
tersebut akan menimbulkan kerugian di dunia dan akhirat serta akan terluputlah
banyak perkara agama dan dunia yang bermanfaat.

Di dalam kitab al-Ihyaa’, Imam al-Ghazali
menyenaraikan 10 faedah hasil sedikit makan (tidak melampau dalam makan) dan 10
kesan buruk akibat banyak makan. Oleh sebab itu, hendaklah seorang hamba tidak
mengamalkan perkara tersebut (mengamalkan banyak makan) kerana akan mendorong
dirinya bersikap rakus dan ia akan merasa sukar untuk
meninggalkannya.

Oleh sebab itulah, dari awal perlu dilakukan pencegahan
(atau penjagaan),kerana mencegah itu lebih mudah daripada menghilangkan kesan
buruk yang telah timbul.

Sekian ulasan dan komentar Imam ash-Shan’ani
rahimahullah dalam Subulus Salam (4/311-312 – al-Maktabah
at-Taufiqiyyah).

Kurang makan Tubuh Menjadi
Lemah

Tubuh manusia memang memerlukan makanan yang bermanfaat
dalam kadar yang betul agar tubuh menjadi segar dan boleh bekerja serta
beribadah. Tetapi apabila makan terlalu banyak atau berlebih-lebihan dengan
kerap, maka kesan yang tidak baik lainnya pula yang mungkin muncul. Demikian
juga apabila makan makanan yang tidak baik, maka ia juga menjadi faktor
datangnya penyakit.

Sebab itulah Rasulullah menyarankan melalui sabdanya di
atas:

“Cukuplah bagi anak keturunan Adam agar makan sekadar
untuk menegakkan tulang sulbinya (tulang punggung).” (Hadis Riwayat
at-Tirmidzi, no. 2380. Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)

Tetapi apabila makan sehingga kenyang itu bukan
termasuk amalan kebiasaan atau terjadi pada waktu-waktu yang jarang
(kadang-kadang) dan tidak terus-menerus diamalkan, maka insyaAllah tidak
mengapa.

Ini kerana dalam Shahih al-Bukhari sendiri
disebutkan bahawa Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu pernah minum susu sehingga
beliau berkata, “Demi Allah wahai Rasulullah, aku sudah tidak memiliki cara
untuk terus meminumnya (kerana perut telah penuh).”

Dalam hadis Anas juga disebutkan bahawa para sahabat
makan makanan hasil berkat doa Nabi sehingga kenyang. (Shahih al-Bukhari, no.
3578, 5381, 5450, 6688)

Juga dalam hadis yang lain, ‘Abdurrahman B. Abu Bakr
radhiyallahu ‘anhu berkata:

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى
اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلاَثِينَ وَمِائَةً، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هَلْ مَعَ أَحَدٍ مِنْكُمْ طَعَامٌ» فَإِذَا مَعَ رَجُلٍ
صَاعٌ مِنْ طَعَامٍ أَوْ نَحْوُهُ، فَعُجِنَ، ثُمَّ جَاءَ رَجُلٌ مُشْرِكٌ
مُشْعَانٌّ طَوِيلٌ، بِغَنَمٍ يَسُوقُهَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَبَيْعٌ أَمْ عَطِيَّةٌ» أَوْ قَالَ: «هِبَةٌ» قَالَ: لاَ،
بَلْ بَيْعٌ، قَالَ: فَاشْتَرَى مِنْهُ شَاةً فَصُنِعَتْ، فَأَمَرَ نَبِيُّ
اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَوَادِ البَطْنِ يُشْوَى، وَايْمُ
اللَّهِ، مَا مِنَ الثَّلاَثِينَ وَمِائَةٍ إِلَّا قَدْ حَزَّ لَهُ حُزَّةً مِنْ
سَوَادِ بَطْنِهَا، إِنْ كَانَ شَاهِدًا أَعْطَاهَا إِيَّاهُ، وَإِنْ كَانَ
غَائِبًا خَبَأَهَا لَهُ، ثُمَّ جَعَلَ فِيهَا قَصْعَتَيْنِ، فَأَكَلْنَا
أَجْمَعُونَ وَشَبِعْنَا، وَفَضَلَ فِي القَصْعَتَيْنِ، فَحَمَلْتُهُ عَلَى
البَعِيرِ، أَوْ كَمَا قَالَ

“Kami pernah bersama-sama Nabi Shallallahu ‘alaihi wa
Sallam (dalam perjalanan) berjumlah seratus tiga puluh orang lalu beliau
berkata:

“Adakah di antara kamu yang memiliki makanan? Jika ada
sebanyak satu sha’ makanan atau sejenisnya, maka buatlah adunan.” Kemudian
datang seorang musyrik yang berambut panjang lagi kusut-masai membawa kambing
yang digiringnya. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata:

“Adakah kambing ini untuk dijual atau untuk diberi
percuma?” Atau Beliau berkata dengan perkataan: “Atau sebagai hadiah?” Orang
tersebut menjawab: “Tidak, tapi untuk dijual.”

Maka Beliau membeli seekor darinya. Lalu kambing
tersebut pun dimasak dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan agar
hatinya dibahagi-bahagikan. Demi Allah, tidak ada daripada kami yang berjumlah
seratus tiga puluh orang melainkan telah diberikan oleh Nabi Shallallahu
‘alaihi wa Sallam potongan jantung dari isi perut kambing tersebut. Jika ada
yang hadir di situ, pasti diberi, dan jika tidak tidak ada, disimpan untuknya.
Maka ia pun dibuat menjadi dua bekas (atau pinggan), lalu mereka pun makan
semuanya dan kami merasa kenyang, dan masih tersisa dua bekas lalu
kami bawa di atas unta, atau sebagaimana dikatakannya.” (Hadis Riwayat
al-Bukhari, bab: Sesiapa Makan Hingga Kenyang, no. 5382)

Ibnu Baththal mengatakan sebagaimana disebutkan oleh
al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (Wafat: 852H):

جواز الشبع وأن تركه أحيانا
أفضل

“Hadis-hadis
ini menunjukkan dibolehkan makan hingga kenyang walaupun adakalanya tidak
kenyang itu lebih afdhal.” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari,
9/528)

Ath-Thabari
berkata:

غير أن الشبع وأن كان مباحا فإن له
حدا ينتهي إليه وما زاد على ذلك فهو سرف والمطلق منه ما أعان الأكل على طاعة ربه
ولم يشغله ثقله عن أداء ما وجب عليه

“Walaupun kenyang itu mubah, tetapi ia memiliki batas
dan tidak boleh melampau dari itu. Kenyang yang dibenarkan secara umum adalah
yang dapat membantu seseorang untuk melakukan ketaatan kepada Rabb-nya dan
beratnya makan tidak menjadikannya lalai dari menunaikan kewajibannya.” (Fathul
Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 9/528)

Al-Qurthubi berkata dalam al-Mufham ketika
menyebutkan kisah Abu Haitsam, ketika Nabi menyembelihkan seeokor kambing
untuknya dan untuk dua orang sahabatnya, mereka pun makan sehingga kenyang.
Kata al-Qurthubi, “Di dalam kisah ini terdapat dalil dibolehkan kenyang. Adapun
hadis yang melarang kenyang, ia boleh difahami bahawa kenyang yang dilarang
tersebut adalah yang memberatkan perut dan menghalang orang untuk melaksanakan
ibadah, melahirkan perasaan sombong, angkuh, asyik tidur, dan menjadi malas.
Kenyang yang dibenci ini boleh menjadi haram bersesuaian dengan kesan buruk
yang ditimbulkannya.” (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari,
9/528)

Kata Imam al-Ghazali rahimahullah, “Peringkat-peringkat
kenyang itu ada beberapa jenis. Pertama, kenyang yang menjadi penopang
kehidupan. Kedua, kenyang yang bertujuan untuk boleh berpuasa dan berdiri solat.
Ketiga, kenyang supaya boleh melaksanakan amalan-amalan sunnah. Keempat,
kenyang yang menjadikannya mampu bekerja. Kelima, kenyang yang cukup-cukup
memenuhi sepertiga perut, dan ini diharuskan. Keenam, kenyang yang melebihi
1/3 perut sehingga menyebabkan badan menjadi berat dan banyak tidur. Ini
dibenci. Ketujuh, kenyang yang melebihi 1/3 perut sehingga membahayakannya, dan
ini adalah kenyang yang dilarang dan ianya haram.” (Fathul Bari Syarah Shahih
al-Bukhari, 9/528-529)

Dalam Thibbun Nabawi karya Ibnul Qayyim
rahimahullah (Wafat: 751H), dijelaskan bahawa pengambilan makanan perlulah pada
kadar yang betul. Di antara sebab-sebab timbulnya penyakit
adalah:

1, Mengambil makanan dengan belebihan, pelbagai aneka
jenis, dan dari jenis yang sukar untuk dihadam oleh sistem
penghadaman.

2, Mengambil makanan yang banyak sebelum makanan yang
dimakan di waktu pertama sempat dihadam atau dicernakan sistem
penghadaman.

3, Makan sehingga melampaui keperluan
tubuh.

Kata Ibnul Qayyim lagi, “Jika seseorang itu mengambil
makanan pada kadar yang betul, hanya makan bersesuaian dengan keperluan, serta
kuantiti dan kualiti apa yang dimakan itu terjaga pada kadar yang betul, maka
tubuh akan mendapat manfaat yang banyak dari hasil makanan
tersebut.”

Kata beliau lagi, “Seseorang itu cukup dengan bebrapa
suap makanan yang dapat menegakkan tulang sulbinya sehingga kekuatannya tidak
berkurang dan badannya tidak lemah. Tetapi jika lebih dari itu, hendaklah ia
makan paling banyak pun tidak lebih dari 1/3 perutnya. Manakala 1/3 lainnya
dibiarkan untuk minuman dan pernafasan. Ini adalah cara makan yang paling
bermanfaat untuk badan dan jantung. Sekiranya perut seseorang penuh dengan
makanan, maka tempat untuk minuman pun menjadi sempit. Jika tempat tersebut
diisi dengan minuman, maka tempat untuk pernafasan menjadi sempit dan ia akan
mengalami kepayahan. Ini juga akan menjadi faktor terganggunya fungsi tubuh dan
jantung sekaligus membahayakannya.

Kekenyangan yang melampau akan mengurangkan daya tubuh
walaupun ia mungkin menaikkan tubuh badan. Kekuatan tubuh badan yang betul itu
sebenarnya terbina hasil dari khasiat (atau gizi) yang diserapnya (dari makanan
yang berkualiti), bukan dari banyaknya makan (secara umum).” (Thibbun Nabawi,
m/s. 18-19)

Wallahu a’lam…

Abu Numair Nawawi B.
Subandi

www.ilmusunnah.com

Sumber: FiqhBlog

Tags: , , ,

No comments yet.

Leave a Reply

Connect with Facebook

Read more:
Hari-hari Yang Diharamkan dan Yang Disunatkan Berpuasa

Soalan saya hanya ingin tahu. hari -hari yang diharamkan berpuasa dan hari yang disunatkan berpuasa. Jawapan Hari-hari yang diharamkan berpuasa:- Hari Raya Puasa Hari Raya Korban Hari-hari Tasyrik...

Close
90 queries in 1.224 seconds.